Ini adalah beruang matahari. Beruang Madu atau beruang matahari atau nama saintifiknya Helarctos malayanus. Haiwan ini banyak terdapat di kawasan hutan hujan tropika Asia, Burma hinggalah ke Malaysia. Beruang Madu juga didapati berkeliaran di antara Timur laut India dan Utara China. Bersesuai dengan namanya, beruang madu suka mencari tempat perlindungan atau habitatnya di kawasan hutan tebal yang mempunyai pokok-pokok yang tinggi untuk mencari madu sebagai salah satu sumber makanannya. Ia merupakan beruang terkecil di dunia.
Beruang matahari tinggal di kawasan pergunungan, tanah pamah dan kawasan subtropika. Di Malaysia, beruang matahari selalunya tinggal di hutan dan memanjat pokok. Beruang matahari adalah spesies beruang yang aktif pada waktu malam dan menghabiskan hampir keseluruhan waktu siangnya dengan tidur di atas pokok. Ia membengkokkan dan mematahkan dahan-dahan pokok untuk membina sarangnya pada ketinggian 10 hingga 20 kaki dari tanah, memberikannya pemandangan yang baik untuk melihat keseluruhan hutan.
Walaupun diklasifikasikan sebagai karnivor, sebenarnya beruang matahari memakan pelbagai jenis makanan dan sangat sedikit jenis makanannya yang berunsurkan daging. Ia memanjat pokok untuk mencari madu lebah dan mengeluarkannya menggunakan kukunya yang berbentuk sabit tersebut. Ia juga menggunakan lidahnya yang panjang untuk mengeluarkan madu dari sarang lebah. Beruang matahari juga memakan buah-buahan. Makanannya yang berunsurkan daging hanyalah binatang kecil seperti burung.
No comments:
Post a Comment